PERKAHWINAN (#12157)

*”Perkahwinan Bahá'í adalah penyatuan dan kasih mesra antara dua pihak. Mereka haruslah, sesungguhnya, amat berhati-hati dan membiasakan diri dengan perwatakan satu sama yang lain. Ikatan abadi ini haruslah diteguhkan oleh satu waadat yang kukuh dan niatnya haruslah untuk memupuk keharmonian, persahabatan dan kesatuan serta untuk mencapai kehidupan abadi.”

*~ ‘Abdu’l-Bahá


Ikrar Perkahwinan, iaitu ayat yang harus diucapkan secara individu oleh pengantin lelaki dan perempuan di hadapan dua orang saksi yang diterima oleh Majlis Rohani, seperti yang tertulis di dalam Kitáb-i-Aqdas (Kitab Paling Suci):

”KAMI SEMUA, SESUNGGUHNYA, AKAN TUNDUK PADA KEHENDAK TUHAN.”

Dia adalah Pemberi, Yang Dermawan!

Terpujilah Tuhan, Sang Purba, Yang Maha Abadi, Yang Tak Berubah, Yang Kekal! Dia yang telah naik saksi dengan Wujud-Nya Sendiri  bahawa sesungguhnya Dia adalah Maha Esa, Maha Tunggal, Maha Kuasa dan Maha Luhur. Kami naik saksi bahawa sesungguhnya tiada Tuhan melainkan Dia, mengenal keesaan-Nya, dan mengakui ketunggalan-Nya. Dia selalu berada di ketinggian yang tak dapat didekati dan di puncak keluhuran-Nya, disucikan daripada penyebutan segala sesuatu kecuali Dia Sendiri, bebas daripada gambaran segala sesuatu melainkan Dia.

Dan apabila Dia berhasrat untuk menjelmakan rahmat dan kurnia kepada manusia, serta mentertibkan dunia, Dia telah menurunkan peraturan-peraturan dan menetapkan undang-undang; antaranya Dia telah mendirikan undang-undang perkahwinan, dan menjadikannya sebagai benteng kesejahteraan dan keselamatan, dan telah memerintahkan kepada kita apa yang diturunkan dari syurga kesucian dalam Kitab-Nya Yang Maha Suci. Dia berfirman, maha besarlah kemuliaan-Nya: “Berkahwinlah, wahai manusia, agar muncul daripadamu dia yang akan menyebut Daku dalam kalangan hamba-Ku; inilah perintah-Ku kepadamu; patuhilah ini sebagai bantuan kepada dirimu sendiri.”

-Bahá'u'lláh
-----------------------

PERKAHWINAN (#12158)

Kemuliaan kepada-Mu, Ya Tuhanku! Sesungguhnya, hamba-Mu ini dan dayang-Mu ini telah berhimpun di bawah naungan belas kasihan-Mu dan mereka telah disatukan melalui kurnia dan kedermawanan-Mu. Ya Tuhan! Bantulah mereka di dunia-Mu dan kerajaan-Mu ini dan takdirkanlah bagi mereka setiap kebaikan melalui berkat dan rahmat-Mu. Ya Tuhan! Sahkanlah mereka dalam pengabdian kepada-Mu dan bantulah mereka dalam khidmat kepada-Mu. Sebabkanlah mereka untuk menjadi tanda-tanda Nama-Mu di dunia-Mu dan lindungilah mereka melalui anugerah-Mu yang tak terhingga di dunia ini dan dunia yang akan datang. Ya Tuhan! Mereka sedang memohon kerajaan belas kasihan-Mu dan merayu alam ketunggalan-Mu. Sesungguhnya, mereka telah berkahwin dalam kepatuhan kepada seruan-Mu. Sebabkanlah mereka untuk menjadi tanda-tanda keharmonian dan kesatuan sehingga penghujung masa. Sesungguhnya, Engkau adalah Yang Maha Berkuasa, Yang Maha Wujud dan Yang Maha Kuat!

-`Abdu'l-Bahá
-----------------------

PERKAHWINAN (#12159)

Ya Tuhanku, Ya Tuhanku! Kedua-dua bola mata yang cemerlang ini telah dikahwinkan dalam cinta-Mu, digabungkan dalam pengabdian kepada Ambang Suci-Mu, bersatu dalam khidmat kepada Akidah-Mu. Jadikanlah Engkau perkahwinan ini sebagai lampu-lampu petunjuk kepada rahmat-Mu yang tak terhingga, Ya Tuhanku, Yang Maha Belas Kasihan, dan sinaran-sinaran cemerlang bagi anugerah-anugerah-Mu, Ya Engkau Pemberi, Dermawan Selalu, agar dari pohon agung ini akan bercambah dahan-dahan yang akan tumbuh menghijau dan berkembang melalui pemberian yang dihujani daripada awan rahmat-Mu.

Sesungguhnya, Engkaulah yang Dermawan. Sesungguhnya, Engkaulah yang Maha Kuat. Sesungguhnya, Engkaulah Pengasih, Yang Maha Berbelas Kasihan.

-`Abdu'l-Bahá
-----------------------

