PENGAMPUNAN (#12149)

Orang yang berdosa apabila dalam keadaan yang mana dia mendapati dirinya bebas dan terpisah daripada segala sesuatu kecuali Tuhan, harus memohon kemaafan dan                pengampunan. Tidak dibenarkan untuk mengaku dosa dan pelanggaran seseorang di hadapan sesiapa pun kerana ini tidak akan pernah membawa pengampunan daripada Tuhan. Demikian juga pengakuan dosa di hadapan orang akan membawa kepada kerendahan dan penghinaan seseorang, dan Tuhan, dijunjung tinggilah kemuliaan-Nya, tidak menghendaki penghinaan hamba-hamba-Nya. Sesungguhnya, Dia Maha Pemurah dan Maha Dermawan! Seorang yang berdosa harus memohon antara dirinya sendiri dan Tuhan, rahmat dari samudera kurnia dan memohon pengampunan dari Langit kedermawanan sambil berkata:

Ya Tuhan, Ya Tuhanku! Aku memohon kepada-Mu demi darah kekasih-kekasih-Mu yang telah demikian tertarik oleh ucapan manis-Mu sehingga mereka pergi ke puncak tertinggi, tempat kesyahidan teragung, dan aku memohon kepada-Mu demi rahsia-rahsia yang tersembunyi dalam pengetahuan-Mu dan demi mutiara-mutiara yang tersimpan dalam samudera anugerah-Mu agar memaafkan daku dan bapaku serta ibuku. Sesungguhnya, Engkaulah Yang Maha Pengampun antara mereka yang pengampun! Tiada Tuhan kecuali Engkau, Pengampun Selalu, Yang Maha Rahim!

Ya Tuhanku! Engkau melihat inti kesalahan ini sedang menuju ke samudera pemberian-Mu, dan orang lemah ini menuju ke kerajaan kekuasaan-Mu, dan makhluk miskin ini menuju ke suria kekayaan-Mu. Demi rahmat-Mu dan kurnia-Mu, janganlah mengecewakannya, Ya Tuhan, mahupun menjauhkannya daripada penjelmaan-penjelmaan rahmat-Mu pada hari-hari-Mu, mahupun menghalaunya dari pintu-Mu yang telah Engkau buka luas di hadapan semua yang ada di syurga-Mu dan di bumi-Mu.    

Sayang! Sayang! Dosa-dosaku telah menghalangi daku daripada mendekati Istana kesucian-Mu, dan dosa-dosaku telah menjauhkan daku daripada Khemah keagungan-Mu. Sesungguhnya aku telah berbuat apa yang telah Engkau larang bagiku; dan aku telah mengabaikan apa yang telah Engkau perintahkan kepadaku!

Aku memohon kepada-Mu demi Dia Yang adalah Raja segala Nama yang berdaulat agar menetapkan bagiku daripada Pena rahmat-Mu, apa yang akan mendekatkan daku kepada-Mu dan akan membersihkan diri daripada dosa-dosaku yang telah menghalang diriku daripada kemaafan-Mu dan pengampunan-Mu.

Sesungguhnya, Engkaulah Yang Maha Kuasa, Yang Maha Dermawan! Tiada Tuhan kecuali Engkau, Yang Maha Perkasa, Yang Maha Pengasih!

-Bahá'u'lláh
-----------------------

PENGAMPUNAN (#12150)

Terpujilah Nama-Mu, Ya Tuhanku dan Tuhan segala benda, Kemuliaanku dan Kemuliaan segala benda, Hasratku dan Hasrat segala benda, Kekuatanku dan Kekuatan segala benda, Rajaku dan Raja segala benda, Pemilikku dan Pemilik segala benda, Tujuanku dan Tujuan segala benda, Penggerakku dan Penggerak segala benda! Aku memohon kepada-Mu, janganlah Engkau membiarkan daku terpisah daripada samudera kasih sayang-Mu yang mesra, dan janganlah pula dijauhkan daripada pantai kedekatan-Mu.

Ya Tuhanku, tiada yang lain kecuali Engkau yang menguntungkan daku, dan tiada faedahnya bagiku mendekati apa pun kecuali Engkau. Aku memohon kepada-Mu, demi berlimpah-limpahnya kekayaan-Mu yang mana Engkau tak memerlukan apa pun selain Engkau Sendiri, agar memasukkan daku ke dalam bilangan mereka yang telah menghadapkan wajahnya kepada-Mu, dan bangkit mengabdi kepada-Mu. Kemudian ampunilah hamba-hamba-Mu dan dayang-dayang-Mu, Ya Tuhanku. Sesungguhnya, Engkaulah Pengampun Selalu dan Maha Penyayang.

-Bahá'u'lláh
-----------------------

PENGAMPUNAN (#12151)

Kemuliaan kepada-Mu, Ya Tuhan. Ampunilah dosa-dosa kami, kasihanilah kami dan bolehkanlah kami untuk kembali kepada-Mu. Deritailah kami untuk tidak bergantung kepada sesiapa melainkan Engkau, dan kurniailah kami, melalui limpah kurnia-Mu, apa yang Engkau cintai dan hasrati dan patut bagi-Mu. Muliakanlah kedudukan mereka yang telah benar-benar mempercayai dan maafkanlah mereka dengan rahmat pengampunan-Mu. Sesungguhnya, Engkaulah Penolong dalam Bencana, Yang Berdiri Sendiri.

-The Báb
-----------------------

PENGAMPUNAN (#12152)

Ya Tuhanku, Ya Rajaku, Ya Tuanku! Aku merayu kepada-Mu untuk mengampuni daku kerana mencari sebarang keseronokan kecuali cinta-Mu, atau sebarang keselesaan kecuali kedekatan kepada-Mu, atau sebarang kegembiraan selain daripada keredaan-Mu, atau sebarang kewujudan selain berhubung dengan-Mu.

-The Báb
-----------------------

PENGAMPUNAN (#12153)

Aku merayu kepada-Mu untuk mengampuni daku, Ya Tuhanku, kerana setiap pengingatan kecuali pengingatan kepada-Mu, kerana setiap pujian kecuali pujian kepada-Mu, dan kerana setiap kegembiraan kecuali kegembiraan dalam kedekatan kepada-Mu, dan kerana setiap keseronokan kecuali keseronokan berhubung dengan-Mu, dan kerana setiap keriangan kecuali keriangan atas cinta-Mu dan atas keredaan-Mu, dan kerana semua benda yang berkaitan denganku yang tidak ada hubungan dengan-Mu, Ya Engkau Yang adalah Raja kepada segala raja, Dia Yang memberikan jalannya dan membuka kunci pintu-pintu.

-The Báb
-----------------------

PENGAMPUNAN (#12154)

Ya Engkau Tuhan Yang Pengampun! Engkau adalah Pelindung bagi semua hamba-hamba-Mu. Engkau mengetahui rahsia-rahsia dan sedar akan segala sesuatu. Kami semua tak berdaya dan Engkaulah Yang Maha Kuat, Yang Maha Kuasa. Kami semua orang yang berdosa dan Engkaulah Pengampun dosa-dosa, Yang Maha Pengasih, Yang Maha Penyayang. Ya Tuhan! Janganlah melihat pada kekurangan-kekurangan kami. Perlakukanlah kami sesuai dengan rahmat dan kurnia-Mu. Kekurangan-kekurangan kami amatlah banyak tetapi samudera pengampunan-Mu adalah tak terbatas. Kelemahan kami amatlah menyedihkan tetapi bukti-bukti bantuan dan pertolongan-Mu adalah nyata. Maka, teguhkanlah dan kuatkanlah kami. Bolehkanlah kami berbuat apa yang patut bagi Ambang pintu-Mu yang suci. Terangilah kalbu-kalbu kami, berilah kami mata yang tajam dan telinga yang mendengar. Hidupkanlah yang mati dan sembuhkanlah yang sakit. Anugerahkanlah kekayaan kepada yang miskin dan berilah ketenteraman dan keamanan kepada yang takut. Terimalah kami di kerajaan-Mu dan terangilah kami dengan cahaya bimbingan. Engkaulah Maha Kuasa dan Perkasa. Engkaulah Dermawan. Engkaulah Maha Pengasih. Engkaulah Yang Baik Hati.

-`Abdu'l-Bahá
-----------------------

