KETAKTERIKATAN (#12116)

Terpujilah Engkau, Ya Tuhanku! Aku salah seorang hamba-Mu, yang telah percaya kepada-Mu dan kepada tanda-tanda-Mu. Engkau melihat bagaimana aku telah menghadapkan diriku pada pintu rahmat-Mu dan mengarahkan wajahku pada kasih sayang-Mu. Aku memohon kepada-Mu, demi gelaran-Mu yang tertinggi dan sifat-sifat-Mu yang terluhur, agar membuka kepada wajahku gapura-gapura anugerah-Mu. Maka, tolonglah daku agar berbuat apa yang baik, Ya Engkau Pemilik segala nama dan sifat!

      Aku ini miskin, Ya Tuhanku, dan Engkaulah Yang Kaya. Aku telah menghadapkan wajahku kepada-Mu, dan melepaskan diriku daripada segala-galanya kecuali Engkau. Aku memohon     kepada-Mu, janganlah menjauhkan diriku daripada bayu-bayu belas kasihan-Mu yang mesra, dan janganlah dijauhkan daripadaku apa yang Engkau takdirkan bagi orang-orang pilihan dalam kalangan hamba-hamba-Mu.


Bukalah tabir daripada mataku, Ya Tuhanku, agar, aku dapat mengenal apa yang telah Engkau hasratkan bagi makhluk-makhluk-Mu, dan dapat menemukan dalam segala penjelmaan karya-Mu, penjelmaan-penjelmaan kekuasaan-Mu yang maha agung. Semangatilah rohku, Ya Tuhanku, dengan tanda-tanda kekuasaan-Mu yang maha besar, dan tariklah aku daripada keinginan-keinginanku yang korup dan jahat. Kemudian tulislah bagiku kebaikan dunia ini dan akhirat. Berkuasalah Engkau berbuat apa yang Engkau kehendaki. Tiada Tuhan selain Engkau, Yang Maha Mulia, yang pertolongan-Nya dicari oleh semua manusia.

Aku berterima kasih kepada-Mu, Ya Tuhanku, bahawa Engkau telah menyedarkanku daripada tidurku, dan telah membangkitkan daku, dan telah mewujudkan dalam diriku hasrat untuk memahami apa yang telah kebanyakan hamba-hamba-Mu gagal memahami. Bolehkanlah aku, Ya Tuhanku, untuk melihat, demi cintaku kepada-Mu dan demi keredaan-Mu, apa sahaja yang telah Engkau hasratkan. Engkaulah Dia yang kekuatan kuasa dan keagungan-Nya semua benda naik saksi.
Tiada Tuhan lain kecuali Engkau, Yang Maha Berkuasa, Yang Dermawan.

-Bahá'u'lláh
-----------------------

KETAKTERIKATAN (#12117)

Ya Tuhanku, biarlah aku mendekati-Mu, dan berdiam di lingkungan istana-Mu, kerana keterpencilan daripada-Mu telah hampir menghancurkan daku. Izinkanlah daku beristirahat di bawah naungan sayap-sayap rahmat-Mu, kerana terpisah daripada-Mu laksana api yang telah membakar hatiku dalam diriku. Dekatkanlah daku kepada sungai yang bagaikan kehidupan sejati kerana rohku terbakar oleh kedahagaan dalam usaha yang tidak terhenti-henti untuk mencari-Mu. Keluh-kesahku, Ya Tuhanku, menyatakan pahitnya kepedihanku, dan air mataku yang berlinangan membuktikan kasihku pada-Mu.
     
Aku memohon kepada-Mu, demi pujian yang melaluinya Engkau memuji Diri-Mu Sendiri dan demi kemuliaan yang melaluinya Engkau memuliakan Hakikat-Mu Sendiri, agar mengizinkan kami memasuki bilangan mereka yang mengenal-Mu dan mengakui kedaulatan-Mu pada hari-hari-Mu. Ya Tuhanku, tolonglah kami untuk meminum air hayat kasih sayang daripada jari-jari rahmat-Mu, supaya kami dapat melupakan sepenuhnya segala sesuatu kecuali Engkau, dan hanya khusyuk dengan Diri-Mu. Berkuasalah Engkau melakukan apa yang Engkau kehendaki.      Tiada Tuhan selain Engkau, Yang Maha Kuasa, Penolong Dalam Bahaya, Yang Berdiri Sendiri.

Dimuliakanlah nama-Mu, Ya Engkau Raja kepada Segala Raja!

-Bahá'u'lláh
-----------------------

KETAKTERIKATAN (#12118)

Terpujilah nama-Mu, Ya Tuhanku! Aku memohon kepada-Mu demi keharuman pakaian belas kasihan-Mu yang pada perintah-Mu serta berdasarkan hasrat-Mu telah disebarkan kepada seluruh ciptaan, dan demi Suria kehendak-Mu telah bersinar dengan terang, melalui kuasa kekuatan-Mu dan keagungan-Mu, di atas ufuk kerahmatan-Mu, untuk menghapuskan daripada hatiku semua angan-angan kosong dan khayalan sia-sia, agar dengan segala kasih sayangku aku dapat berpaling kepada-Mu, Ya Engkau Tuhan semua manusia!

Aku hamba-Mu dan putera hamba-Mu, Ya Tuhanku! Aku telah bergantung kepada tempat kurnia-Mu, dan berpaut kepada tali kerahmatan lembut-Mu. Berikanlah kepadaku benda-benda baik yang ada pada Diri-Mu, dan jagalah daku daripada Meja yang Engkau telah turunkan daripada awan rahmat-Mu dan syurga kurnia-Mu.

Sesungguhnya, Engkau adalah Tuhan segala dunia, dan Tuhan kepada semua yang ada di syurga dan di bumi.

-Bahá'u'lláh
-----------------------

KETAKTERIKATAN (#12119)

Aku tidak mengetahui, Ya Tuhanku, apakah Api yang telah Engkau nyalakan di bumi-Mu. Bumi tidak akan pernah dapat menutupi kegemilangannya, mahupun sebarang air dapat memadamkan sinarannya. Semua manusia di dunia tidak berupaya untuk menahan kuasanya. Besarlah berkat dia yang telah mendekatinya, dan mendengar laungannya.

Ya Tuhan, melalui kurnia-Mu yang menguatkan, Engkau telah membolehkan beberapa orang untuk mendekatinya, manakala yang lain telah dihalang oleh-Mu atas sebab kelakuan mereka di hari-hari-Mu. Barangsiapa yang telah mendekatinya dan mencapainya, dalam keinginannya untuk memandang keindahan-Mu, telah memberikan nyawanya dalam jalan-Mu, dan telah naik kepada-Mu, tidak terikat sepenuhnya kepada segala sesuatu kecuali Diri-Mu.

Aku memohon kepada-Mu, Ya Tuhanku, demi Api ini yang membara dan menyala di alam ciptaan, untuk membakar tabir-tabir yang telah menghalangiku daripada muncul di hadapan singgahsana keagungan-Mu, dan daripada berdiri di pintu gapura-Mu. Engkau kurniakanlah kepadaku, Ya Tuhanku, setiap kebaikan yang Engkau telah turunkan dalam Kitab-Mu, dan janganlah deritai daku dengan menjauhkanku daripada perlindungan belas kasihan-Mu.

Berkuasalah Engkau untuk melakukan apa yang Engkau redai. Sesungguhnya, Engkaulah Yang Maha Kuasa, Yang Maha Dermawan.

-Bahá'u'lláh
-----------------------

KETAKTERIKATAN (#12121)

”Lepaskanlah dirimu daripada segala sesuatu kecuali Aku dan hadapkanlah wajahmu kepada wajah-Ku, kerana lebih baiklah ini bagimu daripada segala  sesuatu yang engkau miliki.”



”Inti cinta adalah apabila manusia mengarahkan      kalbunya kepada Sang Kekasih, dan melepaskan dirinya daripada segala sesuatu kecuali Dia, dan tidak menghasratkan apapun kecuali apa yang dihasratkan oleh Tuhannya.”

-Bahá'u'lláh
-----------------------

KETAKTERIKATAN (#12120)

Ya Tuhan! Kepada Engkau aku mencari perlindungan dan menuju ke semua tanda-Mu aku arahkan hatiku.

Ya Tuhan! Sama ada mengembara atau di rumah dan dalam pekerjaanku atau dalam tugasku, aku meletakkan keseluruhan kepercayaan kepada-Mu.

Berikanlah daku, bantuan-Mu yang mencukupi agar menjadikan daku tidak bergantung kepada semua benda, Ya Engkau yang adalah tak terhingga dalam belas kasihan-Mu.

Anugerahkanlah ke atas daku bahagianku, Ya Tuhan, seperti yang Engkau redai, dan sebabkanlah daku untuk berpuas dengan apa jua yang Engkau perintahkan bagiku.

Engkaulah memiliki kekuasaan mutlak untuk memerintahkan.

-The Báb
-----------------------

KETAKTERIKATAN (#12122)

Ya Tuhan, Tuhanku! Penuhilah daku satu cawan ketakterikatan kepada segala benda, dan dalam himpunan rahmat dan anugerah-Mu, riangkanlah daku dengan wain kasih sayang-Mu. Bebaskanlah daku daripada serangan hawa nafsu, putuskanlah daripada diriku belenggu duniawi ini, tariklah daku dengan keseronokan kepada alam keagungan-Mu, dan segarkanlah daku dalam kalangan dayang-dayang dengan nafas kesucian-Mu.

Ya Tuhan, sinarilah Engkau wajahku dengan cahaya kurnia-Mu, terangilah Engkau mataku dengan melihat kepada tanda-tanda kekuasaan-Mu yang maha menakluki; gembirakanlah hatiku dengan keagungan pengetahuan-Mu yang menyelubungi segala benda, riangkanlah rohku dengan keriangan besar ajaran penghidup-roh-Mu, Ya Engkau Raja dunia ini dan Kerajaan di atas, Ya Engkau Tuhan kerajaan dan kekuatan, agar aku dapat menyebarluaskan tanda-tanda dan anugerah-anugerah-Mu, dan mengumumkan Akidah-Mu, dan mengajar ajaran-ajaran-Mu,  dan mengabdi kepada Hukum-Mu dan meluhurkan Kalimat-Mu.


Sesungguhnya, Engkaulah Yang Berkuasa, Pemberi Sentiasa, Yang Mampu, Yang Maha Kuasa.

-`Abdu'l-Bahá
-----------------------

