KESATUAN (#12106)

Ya Tuhanku! Ya Tuhanku! Persatukanlah hati hamba-hamba-Mu, dan perlihatkanlah kepada mereka maksud-Mu yang Agung. Semoga mereka mentaati perintah-perintah-Mu dan tunduk kepada hukum-Mu. Tolonglah mereka itu, Ya Tuhan, dalam usaha mereka dan kurniailah mereka itu kekuatan untuk mengabdi kepada-Mu. Ya Tuhan! Janganlah Engkau biarkan mereka itu kepada diri sendiri tetapi bimbinglah langkah-langkah mereka dengan cahaya pengetahuan-Mu dan riangkanlah hati mereka dengan kasih sayang-Mu. Sesungguhnya, Engkaulah Penolong mereka dan Tuhan mereka.

-Bahá'u'lláh
-----------------------

KESATUAN (#12107)

Kemuliaan bagi-Mu, Ya Tuhan, atas         penjelmaan cinta-Mu kepada manusia! Ya     Engkau yang adalah Kehidupan dan Cahaya kami,         bimbinglah hamba-hamba-Mu di jalan-Mu dan jadikanlah kami kaya dengan Engkau dan bebas daripada segala sesuatu kecuali Engkau. Ya Tuhan, ajarlah kami Keesaan-Mu dan berilah kami   kesedaran mengenai Kesatuan-Mu, agar kami tidak dapat melihat sesiapa pun kecuali Engkau. Engkaulah Yang Maha Pengasih dan Pemberi Anugerah.

Ya Tuhan, ciptakanlah dalam kalbu-kalbu kekasih-Mu api cinta-Mu, agar ia dapat membakar fikiran terhadap apa pun kecuali Engkau. Nyatakanlah kepada kami, Ya Tuhan, keabadian-Mu yang luhur bahawa Engkaulah purba dan kekal dan tiada Tuhan kecuali Engkau. Sesungguhnya, pada-Mu akan kami cari ketenangan dan kekuatan.

-Bahá'u'lláh
-----------------------

KESATUAN (#12108)

Tuhan mengurniakan agar cahaya kesatuan dapat menyelubungi seluruh bumi, dan agar mohor, “Kerajaan adalah milik Tuhan”, dapat dicapkan pada dahi semua manusia.

-Bahá'u'lláh
-----------------------

KESATUAN (#12109)

”Jika ada perselisihan timbul antara dirimu, lihatlah Daku berdiri di hadapanmu, dan lupakanlah kesalahan-kesalahan satu sama lain demi kepentingan Nama-Ku dan sebagai tanda cintamu kepada Akidah-Ku yang nyata dan cemerlang. Kami suka sekali melihat engkau sentiasa bergaul dalam persahabatan dan keharmonian dalam syurga kerelaan-Ku, dan        menikmati dalam perbuatan-perbuatanmu kemesraan dan kesatuan, kasih sayang dan persaudaraan. Demikianlah Yang Maha Mengetahui, Yang Maha Setia menasihatimu. Kami akan selalu bersamamu; jikalau Kami menikmati kewangian persahabatanmu, kalbu Kami pasti akan bersuka ria, kerana tiada lain yang dapat memuaskan Kami…”

-Bahá'u'lláh
-----------------------

KESATUAN (#12110)

Ya Tuhanku! Ya Tuhanku! Sesungguhnya, aku memohon kepada-Mu dan merayu di hadapan ambang-Mu, meminta daripada-Mu agar semua belas kasihan-Mu dapat diturunkan ke atas jiwa-jiwa ini. Berikan mereka keistimewaan kurnia-Mu dan kebenaran-Mu.

Ya Tuhan!  Satukanlah dan ikatkanlah kalbu-kalbu bersama, sepakatkanlah semua jiwa, dan gembirakanlah  roh-roh  melalui tanda-tanda kesucian dan keesaan-Mu. Ya Tuhan! Jadikanlah wajah-wajah ini cemerlang melalui cahaya keesaan-Mu. Perkuatkanlah loin hamba-hamba-Mu dalam khidmat kepada kerajaan-Mu.

Ya Tuhan, Engkau pemilik belas kasihan tak terhingga! Ya Tuhan pengampun dan pemaaf! Ampunilah dosa-dosa kami, maafkanlah kekurangan kami, dan sebabkanlah kami untuk berpaling kepada kerajaan belas kasihan-Mu, merayu kepada kerajaan kekuatan dan kekuasaan, merendah diri di makam-Mu dan menyerah diri di hadapan keagungan bukti-bukti-Mu.

Ya Raja, Tuhan! Jadikanlah kami sebagai ombak di laut, bunga-bunga di taman, bersatu, bersetuju melalui rahmat kasih-Mu. Ya Tuhan! Lapangkanlah dada melalui tanda-tanda keesaan-Mu, dan jadikanlah semua manusia sebagai bintang yang bersinar daripada ketinggian keagungan yang sama, sebagai buah-buahan sempurna di pohon kehidupan-Mu. Sesungguhnya, Engkaulah Yang Maha Kuat, Yang Berdiri Sendiri, Yang Pemberi, Yang Pengampun, Yang Memaafkan, Yang Maha Tahu, Pencipta yang Satu.

-`Abdu'l-Bahá
-----------------------

