KELUARGA (#12095)

Maha Mulialah Engkau, Ya Tuhanku! Aku bersyukur kepada-Mu kerana Engkau telah   membolehkan daku mengenal Dia, Fajar  rahmat-Mu dan Tempat Terbit kurnia-Mu dan Sumber Akidah-Mu. Aku memohon kepada-Mu demi nama-Mu, yang melalui-Nya wajah-wajah mereka yang dekat kepada-Mu telah menjadi putih, dan kalbu-kalbu mereka yang mencintai-Mu telah terbang kepada-Mu, agar mengizinkan daku untuk berpegang teguh kepada tali-Mu pada setiap waktu dan dalam segala keadaan, dan terlepas daripada ikatan sesiapa pun kecuali Engkau, dan membolehkan mataku diarahkan ke ufuk Revelasi-Mu, dan dapat menjalankan apa yang telah Engkau tentukan bagiku dalam Loh-Loh-Mu.

Ya Tuhanku, hiasilah jiwa dan ragaku  dengan jubah rahmat-Mu dan kasih sayang-Mu. Lalu  selamatkanlah daku daripada segala sesuatu yang tak Engkau redai, dan dengan penuh rahmat, tolonglah daku dan keluargaku agar mentaati-Mu dan menjauhi daripada apa yang dapat menimbulkan sebarang kejahatan atau keinginan keji dalam diriku.
Sesungguhnya, Engkaulah Tuhan seluruh umat manusia, dan Pemilik dunia ini dan akhirat. Tiada Tuhan selain Engkau, Yang Maha Tahu, Yang Maha Arif.

-Bahá'u'lláh
-----------------------

KELUARGA (#12096)

Kemuliaan bagi-Mu, Ya Tuhan, Tuhanku! Aku memohon kepada-Mu agar mengampuni daku dan mereka yang membantu Akidah-Mu. Sesungguhnya, Engkaulah Raja yang berdaulat, Pengampun, Yang Maha Dermawan. Ya Tuhanku! Bolehkanlah hamba-hamba-Mu yang jahil untuk memasuki Akidah-Mu; kerana setelah mereka mengenal-Mu, mereka naik saksi akan kebenaran Hari Kiamat dan tidak akan membantah penjelmaan-penjelmaan rahmat-Mu. Turunkanlah kepada mereka tanda-tanda kurnia-Mu, dan berikanlah kepada mereka di mana sahaja mereka berada, bahagian yang besar daripada apa yang telah Engkau tetapkan bagi hamba-hamba-Mu yang suci. Sesungguhnya, Engkaulah Raja Yang Agung, Yang Maha Pemberi, Maha Dermawan.

Ya Tuhanku! Biarkanlah curahan dari pemberian dan rahmat-Mu turun kepada rumah-rumah yang penghuninya telah memeluk Akidah-Mu, sebagai tanda kurnia-Mu dan lambang kasih sayang daripada kehadiran-Mu. Sesungguhnya, Engkau tak dapat ditandingi dalam memberi pengampunan. Seandainya Engkau menahan pemberian-Mu daripada seseorang, bagaimanakah dia dapat dianggap antara penganut Akidah pada Hari-Mu? Berkatilah daku, Ya Tuhanku, dan mereka yang akan percaya kepada tanda-tanda-Mu pada Hari yang ditetapkan, dan mereka yang memiliki cintaku dalam kalbu-kalbu mereka—satu cinta yang Engkau telah tanamkan dalam mereka. Sesungguhnya, Engkaulah Raja keadilan, Yang Maha Luhur.

-The Báb
-----------------------

KELUARGA (#12097)

”Diberkatilah rumah yang telah mencapai rahmat-Mu yang mesra, yang dalamnya pengingatan-Ku dirayakan; yang menjadi mulia kerana kehadiran kekasih-kekasih-Ku yang mengumandangkan pujian-Ku, yang berpegang erat kepada tali kurnia-Ku dan yang diberi kehormatan kerana menyanyikan ayat-ayat-Ku.”

-`Abdu'l-Bahá
-----------------------

